Sempena Hari Raya ‘Idil Fitri Tahun 1427 Hijrah / 2006 Masihi

Titah Perutusan

Kebawah Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sempena Hari Raya ‘Idil Fitri Tahun 1427 Hijrah / 2006 Masihi

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Bismillahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Aalaa Umuuriddunya waddeen, Wassalaatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillahil Hamd.

Syawal adalah “Hari Besar”, yang disambut dengan segala kemeriahan dan keriangan. Pada hari ini kita bebas makan dan minum. Sebelum ke masjid untuk menunaikan Sembahyang Hari Raya, kita lebih dahulu disunatkan untuk merasa atau menikmati sedikit juadah yang ada. Bahkan pada hari ini, kita dilarang berpuasa.

Hari Raya adalah hari bersukaria, hari kita memakai pakaian yang elok-elok serta baru. Namun ini, bukanlah bermakna kita disuruh untuk berlebih-lebihan atau membazir.

Buatlah apa yang layak, sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Didalam perkara pakaian, makanan dan minuman, kita tidaklah wajar berlumba bagi mengatasi antara satu dengan yang lain. Perlumbaan disini sangatlah dilarang, kecuali perlumbaan untuk mendapatkan seberapa banyak kebajikan.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillahil Hamd.

Begitu juga perlumbaan bagi mempelbagaikan kemudahan dan perhiasan sehingga membawa orang berhutang, adalah juga satu amalan yang perlu dihindari. Kerana risiko hutang itu sungguh membebankan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Di dunia, jika kita sarat dengan hutang, ia boleh mendatangkan bermacam-macam ketidak tenteraman, semantara di akhirat pula, jika hutang itu tidak dibayar, ia akan membawa kepada keperitan dan kesusahan.

Oleh itu, carilah kebahagian melalui “gaya hidup” sederhana. Jimatkan wang untuk masa depan keluarga. Jalan kita dan anak-anak masih panjang. Ia meminta perancangan yang bijak daripada kita.

Masa depan itu, tidak siapapun tahu. dan anak-anak pula adalah pelaburan masa depan tersebut.

Maka oleh itu, utamakanlah asuhan dan didikan untuk mereka, sambil berusaha mengelakkan kesilapan-kesilapan yang mungkin terjadi.

Hari ini kita bolehlah berkata, bahawa kita selamat dan makmur. Tetapi hari esok bukan kita lagi yang mengucapkan ungkapan itu, melainkan sekadar turut ketawa ataupun menangis.

Itulah gambaran hari muka yang penuh dengan teka-teki. Oleh itu, jangan tanya apa yang akan berlaku esok, tetapi berfikir dan merancanglah untuk hari esok yang lebih baik.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillahil Hamd.

Jika ibadat puasa boleh menimbulkan kesedaran tentang betapa peritnya lapar dan dahaga yang dialami oleh orang-orang susah dan melarat, maka Hari Raya juga boleh mendatangkan keinsafan serupa. betapa kita adalah dituntut untuk mensyukuri nikmat kemewahan yang ada pada kita, disamping juga tidak melupakan, bahawa di serata dunia, masih terdapat golongan yang tidak mampu untuk membeli pakaian baru dan juga yang tidak cukup makan.

Fenomina ini, segera pula mengingatkan kita kepada rahasia zakat, yang bertujuan bagi melepaskan golongan yang berhak menerimanya dari kesusahan-kesusahan yang menekan atau menghimpit mereka.

Kerana itu, Beta berharap, supaya pihak yang berkenaan dengan pengendalian zakat, akan dapat benar-benar menunaikan tanggungjawabnya sebak mungkin.

Beta yakin, kutipan zakat kita adalah mampu untuk mengatasi permasalahan yang patut ditangani. Inilah kelebihan kita.

Pengagihan yang teratur lagi sempurna, tentu saja akan membawa imej yang baik serta keberkatan kepada negara.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillahil Hamd.

Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta ingin mengambil peluang mengucapkan SELAMAT HARI RAYA ‘AIDIL FITRI kepada semua golongan rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana juga mereka berada. Semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepada kita semua dengan beroleh petunjuk serta pemeliharaan-Nya yang berpanjangan. Amin

Sekian, Wabillahit Taugeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.